Bandar Seri Putra, 26 November 2025 – Majlis Makan Malam Graduan Universiti Islam Selangor (UIS), sempena Istiadat Konvokesyen UIS ke-28 telah diadakan di Bangi Avenue Convention Centre dan berjaya menghimpunkan alumni dan graduan KISDAR-KUIS-UIS yang telah berjaya dalam lapangan masing-masing.
Majlis yang dianjurkan oleh Bahagian Alumni telah dirasmikan oleh Naib Canselor UIS, Dato’ Profesor Dr. Mohd Farid Ravi Bin Abdullah dengan dihadiri barisan Pengurusan UIS, Para Pensyarah dan tetamu jemputan. Pada malam tersebut juga telah diisytiharkan tarikh 26 November sebagai Hari Alumni UIS yang merupakan tarikh konvokesyen pertama penubuhan KISDAR.
Tujuan utama majlis makan malam ini diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dan membentuk jaringan kerjasama supaya dapat melibatkan alumni dalam usaha memberi sumbang bakti kepada Universiti samada dalam bentuk perkongsian ilmu, promosi, kepakaran dan lain-lain sumbangan selain dapat memupuk permuafakatan, ukhuwah dan semangat kekitaan di kalangan alumni dan pihak Universiti selaku warga UIS.
Dalam petikan ucapan perasmian, Naib Canselor UIS,: “Saya amat berbangga kerana kebanyakan alumni yang hadir pada malam ini telah menjadi pakar dalam bidang mereka tersendiri dan saya juga mengharapkan agar semua alumni UIS dapat menyumbangkan ilmu, tenaga, kewangan dan apa sahaja kepada UIS sebagai kesinambungan dan sinergi Alumni-UIS”.
Majlis diserikan dengan penghargaan kepada rakan kerjasama dan sumbangan Tabung Dana Alumni, pelantikan Pakar Industri Alumni, penyampaian anugerah kepada 5 Ikon iaitu Ikon Sukarelawan, Ikon Inovasi & Kreativiti, Ikon Kepimpinan, Ikon Sosial & Ikon Inspirasi UIS. Majlis turut diserikan dengan cabutan bertuah dan persembahan daripada kumpulan nasyid jemputan As-Soddiq..

