ALUMNiSPA      eTranscript      Konvokesyen

    Berita Alumni

    Bangi, 26 November 2025 – Bahagian Alumni, Universiti Islam Selangor (UIS) telah menganjurkan Majlis Makan Malam Graduan sempena Istiadat Konvokesyen UIS ke-28 yang bertempat di Bangi Avenue Convention Centre (BACC). Majlis ini dihadiri oleh barisan Pengurusan UIS, para pensyarah, para graduan dan alumni bagi meraikan kejayaan graduan yang telah menamatkan pengajian dan bergraduasi. Ia juga berfungsi sebagai tanda penghargaan dan penutup yang gemilang bagi perjalanan akademik para graduan Universiti Islam Selangor.

    Majlis ini dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Prof. Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah, Naib Canselor UIS dalam ucapannya menyampaikan penghargaan kepada graduan dan alumni atas sokongan dan sumbangan mereka. Beliau turut mengumumkan 26 November sebagai Hari Alumni UIS, sebagai usaha memperkukuh jaringan dan hubungan komuniti alumni pada masa hadapan.

    Majlis ini bukan sekadar sebuah majlis makan malam biasa, tetapi mempunyai makna tersendiri kerana kita berkumpul bukan sahaja untuk meraikan kebersamaan, malah majlis ini turut memberi penghargaan kepada rakan kerjasama dan sumbangan Tabung Dana Alumni, pelantikan Pakar Industri Alumni dan juga penyampaian lima anugerah utama sebagai menghargai individu-individu yang telah menunjukkan kecemerlangan yang luar biasa iaitu Ikon Sukarelawan, Ikon Inovasi & Kreativiti, Ikon Kepimpinan, Ikon Media Sosial dan Ikon Inspirasi UIS.

    Majlis malam ini turut diserikan dengan aktiviti cabutan bertuah yang disediakan khas sebagai tanda penghargaan kepada semua tetamu yang hadir dan dimeriahkan dengan persembahan daripada kumpulan nasyid jemputan As-Soddiq.
    Majlis ini bukan sahaja sebagai penghargaan terhadap usaha keras mereka, tetapi juga sebagai platform untuk memperkukuh jaringan profesional dan mempererat hubungan kekeluargaan di kalangan warga universiti. Semoga keberhasilan ini menjadi inspirasi kepada semua.

    Tahniah kepada semua graduan atas pencapaian mereka, dan semoga hubungan ini terus erat di masa akan datang.